Piya, Mat Yo & Indra.
BANGKOK – Sebaik sahaja Indra Putra
Mahayuddin diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Vietnam,
penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha tidak menunggu lama untuk
meledak jaringan pertamanya dalam Piala AFF 2014.
Ditambah pula dengan kehadiran Mohd.
Badhri Radzi di bahagian tengah, maka lengkaplah gandingan treble 2012 yang
membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super.
Dan mereka telah memainkan peranan
masing-masing dengan baik untuk membantu Malaysia mengatasi Vietnam 4-2 dalam
perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi itu bagi melayakkan diri ke perlawanan
akhir dengan agregat 5-4 untuk menentang Thailand hari ini.
Tidak menolak faktor Indra Putra dan
Mohd. Badhri banyak membantunya menampilkan prestasi yang baik di Hanoi,
Norshahrul atau dikenali sebagai Mat Yo mengakui persefahaman yang telah
terbina antara mereka di Kelantan menjadi faktor penting mengapa mereka boleh
mengalahkan Vietnam.
“Saya, Indra dan Piya (Mohd. Badhri)
telah bermain bersama-sama di Kelantan selama beberapa musim, jadi kami dah
masak dengan corak permainan masing-masing.
“Seperti Indra, dia faham cara saya
main…saya pun tahu cara dia main. Begitu juga dengan Piya, jadi itu memang beri
sedikit kelebihan.
“Semuanya bergantung kepada
jurulatih namun jika kami bertiga beraksi sekali lagi, kami bersedia mengulangi
apa yang kami lakukan ketika lawan Vietnam,” katanya ketika ditemui selepas
sesi latihan semalam.
Norshahrul mencipta jaringan kedua
ke atas Vietnam sementara Indra Putra menjadi arkitek kepada dua gol Harimau
Malaya manakala Piya banyak melakukan hantaran berbahaya ke dalam kawasan
lawan.
Dalam masa sama, Norshahrul berkata,
dia berharap mampu meneruskan rentak jaringan dengan menjadikan Thailand
sebagai mangsa seterusnya.
“Kalau tanyakan mana-mana pemain
pun, semua hendak jaringkan gol termasuk Apek (penjaga gol Khairul Fahmi Che
Mat).
“Pengalaman bermain di Stadium
Rajamangala dua tahun lalu (separuh akhir Piala AFF 2012) bersama beberapa
rakan-rakan sepasukan mungkin boleh membantu.
“Kami mahu pulang ke Kuala Lumpur
tanpa ada sebarang tekanan untuk perlawanan akhir kedua, jadi kami tidak boleh
tewas di sini,” katanya.
www.utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment